Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
MADINAH, Isnin, 19 Mei. - Penerbangan keempat dan terakhir bakal-bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4207 membawa seramai 230 orang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 2.49 petang waktu Madinah.
Rombongan keempat termasuk pegawai-pegawai dari Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan) dan Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB).
Hadir bagi menyambut ketibaan bakal jemaah haji NBD ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Arab Saudi di Riyadh, Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid dan isteri serta Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Awang Haji Farhan bin Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani dan isteri.
Turut hadir, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Pentadbiran); Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan), Dr. Haji Aziman bin Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub dan pegawai-pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Pentadbiran dan Perubatan) serta dari Syarikat DSSB.